Pages

Tuesday 21 June 2011

Mukmin: Menghukum atau Membina?

Bismillahirrahmanirrahim.

Menulis bukanlah satu kelebihan yang dikurniakan Allah kepada saya tetapi perkara yang berlaku disekeliling telah memanggil saya untuk melontarkan pendapat agar dapat dijadikan peringatan bersama.

Baru-baru ini perhatian kita tertumpu kepada perjuangan sebahagian rakyat arab di timur tengah yang cuba melepaskan diri setelah berpuluh tahun di bawah pemerintahan kuku besi, mereka bercakap tentang kebebasan,hak bersuara dan hak-hak asas rakyat yang perlu dipenuhi pemerintah,semangat mereka menjadi inspirasi bagi mereka yang cintakan kemakmuran. Tetapi apa yang berlaku di Malaysia adalah berbeza, kita lebih gemar membincangkan tentang video seks pemimpin yang 'berjaya' didapatkan oleh Dato' Trio bahkan cuba membandingkan wajah si pelaku didalam video tersebut dengan pemimpin yang disebut-disebut. Amat memalukan apabila political scene di Malaysia adalah sekitar pornografi, menjual cerita-cerita dalam kain para pemimpin,mentelanjang-bulatkan keaiban mereka dan sekaligus menjatuhkan karier politik mereka for once and for all. Semakin memalukan perkara ini didalangi oleh pemimpim Melayu Islam. Saya tidak akan menulis mengenai hukum qazaf dan perlunya empat saksi didalam tuduhan zina kerana saya bukanlah seorang yang mempunyai authority untuk berbuat demikian, maka saya serahkan ia kepada mereka yang faqih.

Saya percaya fenomena yang kita lihat dalam kalangan pemimpin pada hari ini merupakan projection kepada apa yang berlaku dalam kalangan rakyat marhaen. Perkara seperti mengaib,mengumpat dan mengadu domba berlaku dalam kalangan kita seharian dan menjadi sebati dengan kehidupan kita sebagai muslim. Apabila sampai kepada kita barang satu khabar nescaya kita akan mempercayainya tanpa usul periksa dan lantas menghukum pihak terbabit,ini akan menjatuhkan maruah yang mana ia dijaga oleh Islam didalam Maqasid Syariah. Tidakkah kita telah membaca ayat Al-Quran yang menyebut:

"Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu." (Al-Hujuraat: 6)

Kita diajar secara jelas oleh Allah untuk menyelidiki sebarang pengkhabaran yang diterima untuk mengelakkan berlakunya kezaliman dan demi menjaga kemaslahatan kesemua jiwa manusia. Malangnya apa yang berlaku adalah sebaliknya,kita lebih gemar menyampaikannya kepada orang lain, khabar aib seseorang menjadi seperti pisang goreng panas yang ditunggu-ditunggu oleh pendengarnya. Kalaulah kesalahan seseorang yang disampai-sampaikan itu merupakan A pada perawi pertama nescaya apabila ia sampai pada perawi keempat ia akan menjadi A+B+C; dengan segala penambahan cerita yang diada-adakan. Tidakkah kita mengambil pengajaran daripada apa yang telah berlaku kepada Ummul Mukminin Saidatina Aisyah R.A didalam kisah hadis iftki (Aisyah R.A telah dituduh berzina dengan Sofwan bin al-Mu’attal RA). Takutlah akan firman Allah :

"Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya." (An-Nur:15)

Arrasul S.A.W telah dihantar oleh Allah untuk menjadi Rahmah lil alamin; mendidik, membangun, membina dan sekaligus membentuk manusia; dari kegelapan jahiliyah kepada cahaya, dari penghambaan kepada manusia kepada penghambaan Allah Robbul Jalil.

"Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata." (Jumuah:2)

Dalam ayat ini menerangkan tentang peranan Arrasul yang mulia iaitu Tilawah(membaca), Ta'lim(mengajar) dan Tazkiyah(mensucikan jiwa). Adakah kita ade melihat perkataan Menghukum didalam ayat ini?

Peranan seorang muslim adalah untuk membantu muslim lain jika mereka terkhilaf dan bukan menghukum. Kekhilafan yang mungkin telah berlaku adalah antara si pembuat khilaf dan Allah, bukan untuk kita menentukan hukuman bagi mereka. Siapa kita untuk menentukannya? Adakah kita sempurna daripada kesalahan?

Bertambah parah lagi apabila aib saudara kita dengan sengaja didedahkan kepada khalayak ramai, menjadi bualan umum dan perhatian semua. Tidakkah kita risau nescaya Allah akan membuka aib kita dihadapan khalayak ramai,bahkan lebih dahsyat di padang Mashyar nanti. Mereka ini disifatkan sebagai seorang yang beriman hanya pada lidah sahaja dan iman tersebut tidak sampai ke hati sanubari mereka. Penutup, marilah kita renungi sebuah hadis:

“Berkata Abdullah bin Umar, Rasulullah SAW menaiki mimbar dan bersabda dengan suara yang kuat: “Wahai golongan yang masuk Islam dengan lidahnya, tetapi imannya belum sampai ke hatinya (munafiqin), jangan kamu menyakiti kaum muslimin, jangan menghina mereka, jangan juga mencari keaiban mereka, sesungguhnya sesiapa yang bekerja mencari keaiban saudaranya yang muslim, Allah akan mencari keaibannya dan sesiapa yang dicari keaibannya oleh Allah, Allah akan mendedahkannya walaupun (tersembunyi) di dalam rumahnya (kenderaannya).” [HR: At-Tirmizi No. 2032 “Hasan”]

Wallahu a'lam

Juwaidi Nazar.
11.01 malam, Putrajaya.

No comments:

Post a Comment