Pages

Tuesday 21 June 2011

Jangan Jadikan Ia Susah!

Bismillahirrahmanirrahim.

Jika ditanya kepada setiap muslim tentang nikmat yang paling besar,nescaya mereka pasti akan menjawab Iman dan Islam,segala tasbih dan tahmid dirafa'kan kepada Allah Rabbul Jalil diatas segala kurniaan nikmat, selawat dan salam kepada junjungan mulia Muhammad S.A.W.

Islam diturunkan kepada insan sebagai pegangan hidup, agar kita tidak meraba-meraba di dalam kegelapan mencari panduan hidup yang dapat membimbing kita melayari hidup ini mengikut kehendak Khaliq. Melepaskan kita daripada penghambaan hina kepada manusia kepada penghambaan agung Rabbul Izzah. Ia adalah fitrah manusia, memenuhi segala keperluan mereka.

Islam adalah pemudah cara,mengangkat beban keperitan hidup dan menjadi rahmat keatas sekalian makhluk; jin dan manusia.

"Dan Kami tidak mengutus engkau (Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam." [Al-Anbiyaa’: 107]

Malangnya rahmat ini tidak akan dapat dikecapi jika Islam tidak difahami dengan sewajarnya,maka jadilah ia agama yang membebankan,membelit dan menjadikan kita 'lemas' walhal ia bukanlah tujuan asal Din ini diturunkan.

Realiti
Kita dapat melihat realiti pada hari ini terdapat sebahagian manusia yang membawa pendekatan kepada Islam secara tidak wajar, menjadikan ia berat dan menyusahkan. Buktinya kita boleh lihat di dalam short film 15Malaysia yang bertajuk Potong Saga, mengisahkan tentang seorang cina yang mahu membuka akaun Bank Islam terpaksa berkhatan lantaran menyangka ia merupakan syarat untuk membuka akaun tersebut. Dalam banyak-banyak imej yang patut ditonjolkan (rahmat,kasih-sayang,keadilan) 'potong saga' telah dipilih menjadi imej Islam, ia menjadi projection kepada kefahaman non-muslim tentang islam.

Tidak menghairankan, acap kali saudara kita yang mempunyai kecenderungan kepada Islam telah diberi gambaran yang salah. Mereka sering dimomokkan bahawa khatan menjadi syarat 'utama' untuk memeluk Islam, tidaklah dinafikan kewajiban berkhatan bagi lelaki menurut jumhur ulama' dan atas dasar itu kita dapat melihat banyaknya program sunat beramai-ramai seperti sunathon (sunat marathon) TETAPI terdapat banyak perkara lain yang jauh lebih penting daripada itu, sebagai contohnya AKIDAH.

Pendekatan kepada Islam perlu dilaksanakan mengikut priority (awlawiyat), Sayyidina Muhammad ketika mana menyampaikan dakwah telah menitikberatkan isu akidah ini melebihi isu-isu lain kerana ia merupakan tunjang kepada ibadah lain didalam Islam.Usahlah isu menukar nama bagi saudara baru kita diperbesar-besarkan seolah-olah Islam seseorang itu terletak pada namanya, semakin arab (ya, sila sebut dengan penuh makhraj) dan semakin terbelit lidah untuk menyebutnya maka semakin 'Islam' orang tersebut.

Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

"Permudahlah dan jangan mempersulit, berikanlah kabar gembira dan jangan membuat orang lari." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Semakin susah semakin Islam?
Mengikut pengamatan saya yang sempit, terdapat segelintir insan yang menjadikan sesuatu perkara itu sukar secara tidak wajar. Ini dapat dilihat dengan lebih ketara di Malaysia berbanding negara Arab,jika seseorang mahu pergi ke masjid untuk melakukan solat jamaah maka dia seolah-olah perlu memakai uniform tertentu. Pengalaman menunjukkan jika seseorang pergi Masjid dengan hanya memakai jeans,t-shirt dan 'togel' tidak berkopiah nescaya dia akan diberi pandangan tidak selesa oleh sesetengah pihak walaupun menjadi ahli kariah tetap bahkan imam di masjid tersebut. Sedangkan perkara tersebut saya tidak lihat di Yaman, Syria, Jordan mahupun Mesir, penghayatan agama mereka lebih mudah dan tidak merimaskan.Kod berpakaian ke masjid tidak menjadi isu selagi mana menutup aurat dan pemuda mereka diraikan, yang menjadi imam diantara mereka adalah yang paling baik bacaannya walaupun dia adalah seorang yang muda dan tidak berpakaian seperti Syeikh. Bukankah ini cara memilih imam yang betul menurut hadis?

Runtun hati ini apabila melihat anak-anak kecil yang pergi ke masjid dimarahi dan diletakkan di saf-saf belakang kononnya mereka tidak boleh bersolat satu saf dengan orang dewasa. Jika waktu sebegini tidak digunakan untuk tarbiatul aulad (mendidik anak) rugilah kita. Disana anak-anak kecil dihambat ke masjid tetapi disini mereka dihambat daripada masjid.

Menjadikan sesuatu perkara semakin susah tidak menjadikan kita semakin 'Islam' bahkan ia akan menjadikan sebaliknya. Usah diperberatkan sesuatu perkara atas imej islam,kononnya ia dilakukan kerana ia merupakan gist of Syariah walhal ia hanya datang dari kedangkalan ilmu. Ingatlah Rasulullah telah bersabda:

« هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ » . قَالَهَا ثَلاَثًا .
“Hancurlah orang-orang yang suka memberat-beratkan!” Beliau mengatakannya tiga kali.” (HR. Muslim dari Ibnu Mas’ud)

Imam An-Nawawi mengatakan, bahwa al-mutanaththi’un di sini, iaitu mereka yang senang mempersulit dan memberat-beratkan diri dalam urusan agama yang tidak semestinya.

Kelapangan dan keluasan Islam tidak mungkin akan dapat dilihat dari kesempitan jendela fikiran kita, maka ilmulah yang menjadi kunci kepada jendela ini. Moga Allah memudahkan kita didalam hal ini. Sebagai penutup,marilah kita merenung hadis ini.

Sabda Rasulullah Shallalahu 'alaihi wa sallam:

"Sesungguhnya agama (Islam) itu mudah. Tidaklah seseorang mempersulit (berlebih-lebihan) dalam agamanya kecuali akan terkalahkan (tidak dapat melaksanakannya dengan sempurna). Oleh karena itu, berlaku luruslah, sederhana (tidak melampaui batas), dan bergembiralah (karena memperoleh pahala) serta memohon pertolongan (kepada Allah) dengan ibadah pada waktu pagi, petang dan sebagian malam." (Hadis Riwayat Bukhari)

Wallahua'lam.

Juwaidi Nazar
Mulanya di Bidor tamatnya di Bangi. 8.59 a.m

No comments:

Post a Comment